Monday, August 27, 2012

Karangan SPM Kesan Penggunaan Telefon Bimbit


Ini hasil kerja aku ya! Bukan tiru. So, kalau nak cilok bagitau la dulu. Hehe :)

  Pada suatu masa dahulu, telefon bimbit dianggap sebagai barangan mewah yang tidak mampu dimiliki oleh kebanyakan orang selain bentuknya yang besar dah sukar dibawa. Namun, selepas kita memasuki alaf baru, pengguna telefon bimbit meningkat bak cendawan tumbuh selepas hujan disebabkan harganya yang jauh lebih murah selain bentuknya yang lebih kecil dan senang dibawa ke mana-mana. Kini, tidak hairanlah hampir semua penduduk dunia mempunyai  sekurang-kurangnya sebuah telefon bimbit. Pelajar sekolah pula tidak ketinggalan dalam perlumbaan mengejar kecanggihan malah ada juga yang telah pun mempunyai telefon pintar.  Persoalannya, adakah telefon bimbit memberi implikasi baik ataupun impak negatif terhadap masyarakat?
   
  Penggunaan telefon bimbit sudah semestinya banyak membantu dalam komunikasi harian. Kita tidak perlu lagi bersusah-payah untuk pergi ke rumah seseorang untuk berkongsi ataupun menyampaikan maklumat. Bukan itu sahaja, keselamatan seseorang individu  juga akan lebih terjamin kerana telefon bimbit mudah digunakan bagi mendail pihak polis atau sesiapa sahaja dalam masa kecemasan. Perkara sebegini amat penting terutamanya bagi seseorang pelajar yang berada dalam kecemasan. Perkongsian matlumat tentang pelajaran atau kerja rumah juga dapat dilakukan dengan lebih mudah dengan adanya telefon bimbit.
   
  Selain itu, penggunaan telefon bimbit juga dapat merapatkan silaturahim sama ada dengan rakan atau sanak saudara terutamanya yang berada jauh di perantauan. Kita dapat menelefon orang tersayang bagi mengubati rindu dengan kos yang tidak terlalu mahal. Lebih-lebih lagi, dengan teknologi 3G, kita dapat membuat membuat panggilan video kepada orang tersayang. Teknologi sebegini amat penting bagi mengubati rindu selain mengukuhkan silaturahim dalam kalangan sanak-saudara.
   
  Malangnya, disebalik kebaikan telefon bimbit, ada udang di sebalik batu di sebalik penggunaannya. Hal ini demikian kerana telefon bimbit dapat memberikan impak negatif terhadap penggunanya. Pertama, kebanyakan orang yang menggunakan telefon bimbit tidak menggunakannya untuk kebaikan. Hal ini demikian kerana ramai yang menggunakan khidmat pesanan ringkas untuk tujuan menghantar pesanan ringkas yang tidak berguna seperti memikat seseorang, menghantar pesanan sekadar menghilangkan kebosanan dan sebagainya. Perkara ini akan membawa kepada pembaziran dan seterusnya meningkatkan kos sara hidup.Bukan itu sahaja, pelajar sekolah juga dapat menggunakan telefon bimbit untuk meniru dalam peperiksaan, menganjurkan aktiviti jenayah dan juga menyebarkan video lucah di sekolah. Perkara sebegini akan menyebabkan keruntuhan moral yang teruk bagi generasi muda negara ini.
  
  Di samping itu, sikap remaja zaman sekarang  yang suka bersaing dalam mengejar kecanggihan juga amat membimbangkan. Hal ini demikian kerana bukan mereka yang menanggung kesusahan tetapi ibu bapa yang perlu bermandi peluh dalam merealisasikan hasrat anak mereka memiliki telefon bimbit canggih. Bagi golongan yang berpendapatan menengah rendah, sudah pasti perkara ini menjadi beban kepada mereka. Bagi golongan menengah atas pula, mereka sering memanjakan anak mereka dengan membelikan telefon pintar atau telefon canggih lain sehingga mengabaikan tanggungjawab demi pekerjaan semata-mata.
   
  Seterusnya, mengikut kajian terbaru daripada 31 saintis daripada 14 negara-negara maju termasuk Amerika Syarikat, penggunaan telefon bimbit yang berlebihan dapat mendatangkan penyakit barah otak. Hal ini demikian kerana gelombang elektromagnet yang terhasil daripada telefon bimbit apabila terkena pada sel-sel otak untuk masa yang berlarutan akan menyebabkan mutasi genetik terhadap sel-sel otak tersebut dan seterusnya menyebabkan kanser otak. Perkara sebegini amat membimbangkan terutama kepada usahawan ataupun khidmat pelanggan yang perlu menggunakan telefon untuk jangka masa yang panjang dalam sehari demi pekerjaan mereka.
    
   Tuntasnya, walaupun terdapat banyak kebaikan yang boleh kita terima daripada penggunaan telefon bimbit, kita juga akan menerima kesan negatif daripada penggunaan telefon bimbit jika tidak digunakan secara berhati-hati. Jadi, seseorang perlu bijak dalam menggunakan telefon bimbit agar tidak terlibat dalam kancah pembaziran, jenayah ataupun dihidapi penyakit kronik.

Saturday, August 25, 2012

Bercuti ke Langkawi (Hari kedua)

Bangun pagi je terus kitorang gi sarapan. Aku sekeluarga sarapan nasi lemak je. Habis RM6 je untuk 4 orang makan. Lepas tu ada la berenang-renang sikit kat swimming pool walaupun hujan renyai-renyai. Baju dah basah baik basahkan lagi dengan mandi kat pantai. Haha. Pantai tu dekat je, jalan kaki ayam je gi sana. Tapi tak bawa kamera sebab takut basah kena air hujan.

Jam 9.30 pagi pula kami sekeluarga dijemput oleh sebuah van untuk pergi Island Hopping. Sampai je kat pantai kami naik bot untuk gi pulau-pulau yang akan dikunjungi. Kongsi bot ngan orang Jepun & Korea, orang Malaysia jarang ada mungkin masih sibuk beraya kot. Hehe. Orang yang bawa bot punya la laju dia bawa cepat gila sampai Pulau Tasik Dayang Bunting. Kami diberi masa 1 jam untuk meneroka pulau ni. Aku apa lagi berseronok sakan la mandi kat tasik tu.









Lepas tu, kami pergi pula ke tempat Eagle Feeding. Tempat ni cuma untuk tangkap gambar helang je. Banyak gila helang kat tempat ni. Beratus kot..







Seperti yang dapat dilihat, cuaca memang agak mendung. Tapi lepas tu bukan setakat mendung je, hujan lebat pula turun. Haiz. Terpaksa la berhujan. Tapi seronok la juga dapat mandi lagi. Aku ni memang suka bermandi manda. Haha. Sampai je kat Pulau Beras Basah semua penumpang bot memang betul-betul basah!

Haha! Walaupun hujan aku tetap turun dari bot & mandi kat pantai tu. Lantak la hujan tak hujan aku bedal je. Lagipun ramai juga yang mandi kat pantai tu walaupun hujan. Rugi kot kalau tak mandi. Pantai dia memang jernih, bersih, putih & air dia pun tak ada la masin sangat (mungkin sebab hujan kot) :p Tapi aku tak boleh lama-lama sebab ada budak kecil kat bot tengah tunggu. Kesian la dia menggigil sebab baju basah. tak sampai 15 minit aku pun pergi bot. Lepas tu kitorang pun berlepas la pergi jeti tadi.

Kami sampai kat hotel jam 12.45 petang. Sampai je hotel terus tukar baju yang basah tadi & rehat. Lepas tu kami pergi Pekan Kuah untuk jalan-jalan sambil cari makan tengah hari. Kami makan kat restoran apa entah aku pun lupa nama dia tapi restoran tu dekat je dengan Dataran Lang. Murah la juga, makanan pun boleh tahan la juga.

Lepas makan, sesi bergambar kat mercu tanda Langkawi iaitu Dataran Lang. Hehe..


Jam 3 petang kami bershopping sakan kat Duty Free Zone, betul-betul depan hotel kami. Apa lagi borong la chocolate banyak-banyak. Memang murah berbanding kat tanah besar. Shopping baju, seluar dan juga selipar. Haha.

Tapi apakan daya.. Ayah aku kena masuk kerja awal so kena check out awal sikit. Jam 5 petang kami pun check out. Pulangkan kereta sewa & naik feri pada jam 7 malam. Perjalanan pulang tak ada la penat sangat berbanding perjalanan datang Langkawi sebab beratur pun tak lama, penumpang feri pun tak ramai sangat. Lepas tu kami pun balik ke KL naik bas ekspress Etika. Memang betul-betul beretika sebab bas sampai awal 5 minit & berangkat pun cepat juga. Tak macam bas Shamisha yang terlebih isap sheesha tu. Haha..

Kesimpulannya bercuti kat Langkawi memang best! Memang cadang nak pergi lagi lain kali tapi naik airasia je lagi relax. So, aku cadangkan kalau korang nak perjalanan yang lebih relax dan cepat eloklah melalui flight je. Cuma lagi mahal sikit la kalau tak ada promosi. Oh ya jumlah keseluruhan percutian ni mencapai sejumlah RM3000+- untuk 4 orang. Hehe.

Bercuti ke Langkawi (Hari pertama)

Sebelum nak exam aku pergi Langkawi untuk bercuti. Haha. Pelik, orang kalau lepas exam baru pergi bercuti ni aku pula terbalik. Habis tu dah tak ada masa lain lepas ni dah la parents aku sibuk kerja. Apa-apapun aku nak kongsi sikit pengalaman aku kat Langkawi.

Aku naik bas ekspress Shamisha gi Kuala Perlis, bas 2 tingkat woo. Tapi servis memang hampeh! Dah la tunggu bas tu 3 jam baru datang, memang lemak berkrim betul ler. Sebenarnya nak naik airasia je tapi booking last minute mahal sangat so aku naik bas je sob sob. 
Ini la bas tu. Memang cantik, aircond pun sejuk sampai menggigil. Tapi servis hampeh!

Aku sampai je kat jeti Kuala Perlis jam 9 pagi terus beratur beli tiket feri. Mak aih beratur punya la panjang. Tup tup dapat tiket feri jam 12. Kira okay la kot daripada dapat jam 2 ke atas. Tapi, jeti tengah upgrade so masih banyak kekurangan. Harap-harap la cepat sikit siap malu la negara kita dah la banyak mat saleh kat jeti tu. Nasib baik feri ada aircond, terlelap la sekejap kat dalam feri sementara menunggu sampai Langkawi. 

                                          Feri yang kami naiki. Hehe

Aku sampai jeti Langkawi dalam pukul 1.10pm camtu. Laju gila pemandu feri bawa. Terhenjut-henjut semua penumpang. Tapi sebab tu la kitorang cepat sampai jeti. Hoho. Lepas tu aku & family keluar pergi starbucks coffee untuk tunggu orang yang jemput kami. Cepat jugak la dia sampai, tak sampai 10 minit. Oh untuk pengetahuan sebenarnya aku dah book tour Langkawi ni 2 minggu sebelum tu, dah termasuk penjemputan dari jeti, kereta sewa, penginapan kat hotel & pakej Island Hopping. Kalau nak book silalah email zttour@gmail.com dan aku memang recommend diorang. Peramah jugak diorang. Sepatutnya aku dapat kereta Iswara atau Viva tapi diorang bagi Myvi auto! Woo best! 

                              Myvi yang kami sewa. Memang best ;p


Dari jeti, aku teruskan perjalanan pergi hotel. Tapi sebelum tu kena isi petrol dulu sebab diorang bagi petrol cukup-cukup untuk gi stesen petrol je. Lepas isi, aku teruskan perjalanan ke hotel. Hotel kami kat Pantai Cenang. Kalau korang risau sesat, takyah risau sebab jalan dari jeti kalau nak pergi mana-mana mesti ada sign board. Selagi tak ada sign board jalan straight je sampai jumpa sign board yang akan tunjuk tempat tujuan korang. Dari jeti ke hotel kami kat Pantai Cenang ada la kurang daripada 30 minit. Sampai je hotel terus check in & rehatkan diri. Tapi nak cakap hotel bukan hotel juga, lebih kepada resort. Landcons nama dia. Sebenarnya ada hotel-hotel lain yang lebih bagus daripada hotel ni tapi masa aku book banyak hotel dah penuh, so terpaksa pergi resort ni. Bukannya nak kritik hotel ni tapi aku rasa ada hotel lain yang tawarkan perkhidmatan yang jauh lebih bagus daripada hotel ni so aku tak recommend sangat la. Ni gambar-gambar hotel tu..







Masa makan siang kami pergi Restoran Jaguh, dekat je dengan hotel. Makan nasi campur, harga pun agak berpatutan, dalam RM25 untuk 4 orang makan & rasa pun okay. Makan malam pula kami pergi Restoran Tomyam Village, dalam 5 minit perjalanan menaiki kereta. Pemilik restoran orang siam tapi bergama Islam. Makanan dia pergh memang sedap! Kami order siakap stim, ayam masak kicap, sotong masak tepung & kangkung masak belacan. Harga pula, hehe.. RM110 untuk jumlah keseluruhan. Tapi harga ni kira okay la sebab makan sedap, layanan dia pun baik selain makanan siap agak cepat. Takde la sampai berjanggut kami tunggu. 

                              Makanan kat Tomyam Village. Masa ni siakap stim belum sampai lagi. 

Lepas makan aku lepak-lepak la kat hotel. Tapi aku nak online kena pergi lobby baru ada wireless. Nasib baik internet boleh tahan cepat. Depan hotel pula ada Mcdonald, dekat gila. Aku pindah online kat Mcdonald. Tapi sebelum tu aku beli satu set McChicken biar tak segan sikit online kat sana. Haha! Aku online je la kat situ dari jam 11.45pm sampai ler jam 1.50am camtu. Hohoo. Jam 2am dah mengantuk gila aku balik la hotel untuk tidur.




Monday, August 6, 2012

Contoh Karangan SPM- Amalan Gaya Hidup Sihat

Karangan yang ditulis/ditaip oleh aku sendiri. Tujuannya adalah untuk dikongsi untuk semua pelajar tak kira yang bakal menghadapi PMR ataupun SPM. Hehe :)

     Apakah maksud 'Amalan Gaya Hidup Sihat'? Frasa tersebut boleh ditakrifkan sebagai cara hidup yang mampu mengurangkan risiko mendapat penyakit-penyakit yang akan membawa maut pada masa akan datang. Menurut kajian pakar-pakar dietetik Malaysia, jumlah rakyat Malaysia yang mengalami obesiti semakin meningkat bak cendawan tumbuh selepas hujan. Kandungan kolesterol dan tekanan darah individu yang mengalami obesiti dan perokok tegar pula dua kali lebih tinggi berbanding orang kebanyakan. Oleh itu, pendekatan secara drastik perlu diambil bagi membendung masalah kesihatan di negara ini daripada semakin berleluasa.

    Langkah yang perlu diambil bagi merealisasikan gaya hidup sihat adalah dengan menghindarkan diri daripada gejala-gejala tidak sihat seperti merokok dan penyalahgunaan dadah. Kajian dari Universiti Cambridge telah membuktikan bahawa perokok menghadapi risiko untuk mendapat serangan jantung berbanding mereka yang tidak merokok. Penyalahgunaan dadah pula perlu dicegah kerana perbuatan terkutuk itu akan membawa kepada penyakit-penyakit seperti HIV dan AIDS. Oleh itu, kita perlu bijak dalam membuat keputusan agar tidak terjebak dalam gejala-gejala negatif yang bukan sahaja meragut wang ringgit, bahkan meragut nyawa seseorang.

    Amalan gaya hidup sihat lain yang perlu diikuti adalah dengan mengamalkan pemakanan yang seimbang. Pemilihan makanan yang menepati nisbah piramid makanan perlu dititiberatkan agar tubuh badan mendapat nutrisi yang mencukupi selain terhindar daripada penyakit. Kita juga seharusnya perlu mengurangkan pengambilan makanan segera kerana makanan tersebut biasanya mempunyai kandungan lemak dan kolesterol yang tinggi. Sebaliknya, pengambilan makanan berkhasiat seperti sayur-sayuran dan buah-buahan perlu diperbanyak agar mencapai tahap kesihatan yang lebih baik.

    Di samping itu, aktiviti senaman juga perlu dijadikan keutamaan bagi seseorang individu. Hal ini demikian kerana apabila kita bersenam,tubuh badan kita akan membakar lemak, membuang toksin dan melancarkan pengaliran darah. Hal ini penting terutamanya bagi pelajar kerana apabila pengaliran darah menjadi lancar, otak akan lebih mudah menyerap pembelajaran. Jadi, seseorang perlulah bersenam sekurang-kurangnya setengah jam sehari bagi meningkatkan kecergasan tubuh da kecerdasan minda.

    Selain itu, kita perlu mengelakkan diri daripada mengunjungi pusat-pusat hiburan seperti kelab malam dan sarang pelacuran. Hal ini demikian kerana tempat-tempat sebegini akan menjerumus seseorang ke kancah pengambilan alkohol dan dadah selain hubungan seks rambang. Perbuatan sebegini juga akan menyebabkan seseorang individu mendapat penyakit HIV dan AIDS. Sebaiknya, kita boleh mendapat hiburan dengan berekreasi di taman atau melancong bersama keluarga bagi mengurangkan stres. Apabila kita mengawal tingkah laku dan perbuatan kita dalam kehidupan seharian, nescaya kita tidak akan terjebak dengan penyakit-penyakit yang berbahaya.

    Intihanya, banyak inisiatif yang dapat diambil oleh seseorang individu dalam mengamalkan gaya hidup sihat. Kita juga perlu menjaga kesihatan kita dengan sebaik-baiknya kerana jika nasi sudah menjadi bubur, tidak banyak yang dapat dilakukan dalam menyelamatkan tubuh badan yang rapuh dirobek penyakit. Oleh itu, kita perlulah bertindak bijak dalam menentukan kesihatan kita kerana mencegah adalah lebih baik daripada mengubati. 



    



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...