Ini hasil kerja aku ya! Bukan tiru. So, kalau nak cilok bagitau la dulu. Hehe :)
Pada suatu masa
dahulu, telefon bimbit dianggap sebagai barangan mewah yang tidak mampu
dimiliki oleh kebanyakan orang selain bentuknya yang besar dah sukar dibawa.
Namun, selepas kita memasuki alaf baru, pengguna telefon bimbit meningkat bak cendawan tumbuh selepas hujan
disebabkan harganya yang jauh lebih murah selain bentuknya yang lebih kecil dan
senang dibawa ke mana-mana. Kini, tidak hairanlah hampir semua penduduk dunia
mempunyai sekurang-kurangnya sebuah
telefon bimbit. Pelajar sekolah pula tidak ketinggalan dalam perlumbaan
mengejar kecanggihan malah ada juga yang telah pun mempunyai telefon
pintar. Persoalannya, adakah telefon
bimbit memberi implikasi baik ataupun impak negatif terhadap masyarakat?
Penggunaan telefon
bimbit sudah semestinya banyak membantu dalam komunikasi harian. Kita tidak
perlu lagi bersusah-payah untuk pergi ke rumah seseorang untuk berkongsi
ataupun menyampaikan maklumat. Bukan itu sahaja, keselamatan seseorang
individu juga akan lebih terjamin kerana
telefon bimbit mudah digunakan bagi mendail pihak polis atau sesiapa sahaja dalam
masa kecemasan. Perkara sebegini amat penting terutamanya bagi seseorang
pelajar yang berada dalam kecemasan. Perkongsian matlumat tentang pelajaran
atau kerja rumah juga dapat dilakukan dengan lebih mudah dengan adanya telefon
bimbit.
Selain itu,
penggunaan telefon bimbit juga dapat merapatkan silaturahim sama ada dengan
rakan atau sanak saudara terutamanya yang berada jauh di perantauan. Kita dapat
menelefon orang tersayang bagi mengubati rindu dengan kos yang tidak terlalu
mahal. Lebih-lebih lagi, dengan teknologi 3G, kita dapat membuat membuat
panggilan video kepada orang tersayang. Teknologi sebegini amat penting bagi mengubati
rindu selain mengukuhkan silaturahim dalam kalangan sanak-saudara.
Malangnya,
disebalik kebaikan telefon bimbit, ada
udang di sebalik batu di sebalik penggunaannya. Hal ini demikian kerana
telefon bimbit dapat memberikan impak negatif terhadap penggunanya. Pertama,
kebanyakan orang yang menggunakan telefon bimbit tidak menggunakannya untuk
kebaikan. Hal ini demikian kerana ramai yang menggunakan khidmat pesanan
ringkas untuk tujuan menghantar pesanan ringkas yang tidak berguna seperti
memikat seseorang, menghantar pesanan sekadar menghilangkan kebosanan dan
sebagainya. Perkara ini akan membawa kepada pembaziran dan seterusnya
meningkatkan kos sara hidup.Bukan itu sahaja, pelajar sekolah juga dapat
menggunakan telefon bimbit untuk meniru dalam peperiksaan, menganjurkan
aktiviti jenayah dan juga menyebarkan video lucah di sekolah. Perkara sebegini
akan menyebabkan keruntuhan moral yang teruk bagi generasi muda negara ini.
Di samping itu,
sikap remaja zaman sekarang yang suka
bersaing dalam mengejar kecanggihan juga amat membimbangkan. Hal ini demikian
kerana bukan mereka yang menanggung kesusahan tetapi ibu bapa yang perlu
bermandi peluh dalam merealisasikan hasrat anak mereka memiliki telefon bimbit
canggih. Bagi golongan yang berpendapatan menengah rendah, sudah pasti perkara
ini menjadi beban kepada mereka. Bagi golongan menengah atas pula, mereka
sering memanjakan anak mereka dengan membelikan telefon pintar atau telefon
canggih lain sehingga mengabaikan tanggungjawab demi pekerjaan semata-mata.
Seterusnya,
mengikut kajian terbaru daripada 31 saintis daripada 14 negara-negara maju
termasuk Amerika Syarikat, penggunaan telefon bimbit yang berlebihan dapat
mendatangkan penyakit barah otak. Hal ini demikian kerana gelombang elektromagnet
yang terhasil daripada telefon bimbit apabila terkena pada sel-sel otak untuk
masa yang berlarutan akan menyebabkan mutasi genetik terhadap sel-sel otak tersebut
dan seterusnya menyebabkan kanser otak. Perkara sebegini amat membimbangkan
terutama kepada usahawan ataupun khidmat pelanggan yang perlu menggunakan
telefon untuk jangka masa yang panjang dalam sehari demi pekerjaan mereka.
Tuntasnya,
walaupun terdapat banyak kebaikan yang boleh kita terima daripada penggunaan
telefon bimbit, kita juga akan menerima kesan negatif daripada penggunaan
telefon bimbit jika tidak digunakan secara berhati-hati. Jadi, seseorang perlu
bijak dalam menggunakan telefon bimbit agar tidak terlibat dalam kancah
pembaziran, jenayah ataupun dihidapi penyakit kronik.